Bismillah..
Dengan tidak semena-menanya datang pula mood untuk blogging malam ni. Kisah Dahulu Kala Part 1 sampai darjah 6. Kini sambung sedikit masuk Tingkatan 1. Kelakar, kejutan budaya masuk sekolah menengah. Mula-mula masuk sekolah menengah, sudahlah pakaian berbeza, rakan-rakan juga berbeza, persekitaran sekolah, guru-guru juga berbeza. Yang paling kelakar ialah apabila melihat abang-abang Form 5, sudah bermisai berjanggut, terasa seperti benar-benar sekolah menengah hanya untuk orang dewasa. Mula-mula masuk Form 1, sudah ada tawaran, sesiapa yang ingin masuk kelas khas muzik. Sesiapa yang masuk kelas muzik tidak perlu belajar seni, apa lagi, tanpa fikir panjang terus buat keputusan lari dari subjek seni, masuk kelas muzik. Memang asalnya bukanlah kerana saya amat minat muzik itu, tetapi mahu lari dari dunia lukisan yang saya tidak minat langsung itu. Alhamdulillah, tidak salah pilihan. Kelas muzik banyak mengajar saya, dari dulu hingga kini, harap-harap akan datang; tentang apresiasi terhadap dunia seni terutama muzik, tentang jiwa, tentang rasa, tentang susunan, dan tentang bunyian yang indah. Sampai Form 3 kami kekal dalam kelas yang sama. Seronok. Masih teringat belajar dengan Cikgu Aziz yang boroi perutnya sendiri boleh menekan ‘keyboard’, Cikgu Haslinda yang asyik menghempas bulu ayam pada papan putih, dan Cikgu Azhar yang macho dan penuh dengan rasa. Masih ingat lagi pelajaran lagu ‘Yesterday’, ‘Suara Takbir, ‘Keroncong Untuk Ana’, dan sebagainya, seronok.
Prestasi pelajaran saya di sekolah menengah biasa sahaja, malah ada juga yang teruk. Sehingga ke Form 3, masih tidak berubah, graf prestasi saya suka bergerak seperti ombak, ada masa naik, masa yang lain turun. Kenangan paling indah ialah ketika tahun 1999, Form 3; kami sepuluh orang dengan rasminya dipilih menjadi anggota kumpulan gamelan sekolah. Tahun 1999 adalah acara agung kami; majlis minum teh sempena pertabalan agong di Mines. Selama berbulan-bulan kami berlatih; setiap hari! Bayangkanlah, PMR yang bakal tiba lagi, latihan lagi di petang hari, sehingga ibu bapa pun sudah mula bersuara. Keputusan percubaan PMR agak mengecewakan, hanya 4A sahaja. Ya, memang waktu itu pun ‘expectation’ saya tidak tinggi, kurang yakin diri sendiri. Apabila keluar keputusan PMR, Ustazah Aminah yang juga guru kelas beritahu saya dan Wan Hafiz dapat 8A, tahu apa berlaku?? Gelap dunia!! Rasa seperti sudah berlaku kesilapan…Hahahahahaha…… Walaupun masuk Form 4 dan Form 5 sudah bukan lagi ahli kelas muzik, kami masih aktif dengan persembahan gamelan. Alhamdulillah, zaman kegemilangan ketika itu sangat indah. Merasa juga bermain di Mines, PWTC, Dewan Sivik MPPJ, Hotel Concorde, dan yang paling berat dan penat sekali ialah ketika majlis walimatul urus anak pengetua. Kami juga yang bermain gamelan, kami juga juru kompang, masih teringat betapa merahnya tangan kami waktu tu.
Cukuplah sampai sini dahulu. Saya berharap siri Kisah Dahulu Kala ini berakhir di sini, kerana bagi saya kurang manfaatnya bagi pembaca sekalian. Ini untuk saya, untuk saya baca dan fikir dan ingat semula; bahawa hidup saya sudah penuh warna dan lukisan, yang InsyaALLAH akhirnya terbentuk menjadi potret indah yang abadi. Wassalam.